Cita-cita pekerjaan pertama saya adalah ingin menjadi seorang pramugari, tetapi cita-cita sebenar saya sejak kecil adalah menjadi seorang ibu.
Ya .
Sejak kecil , permainan yang paling saya suka adalah main “masak-masak” dengan abang saya. Anak-anak patung teddy bear saya, akan jadi anak-anak saya . Nama-nama mereka pun saya masih ingat .
Mat
Hisyam
Sarah
Rose
Diana
Ya, nama Melayu semua, kan?
Ketika saya berumur 5 tahun, saya minta adik dengan Mama & Ayah.
Saya ada 5 orang abang, dua orang meninggal semasa bayi jadi yang masih ada, 3 orang .
Saya sangat inginkan seorang adik perempuan .
Alhamdulillah ketika 6 tahun, adik saya dilahirkan, dan itulah antara hari yang paling gembira dalam hidup saya
Saya memang sangat-sangat sukakan bayi! Dari kecil hingga sekarang . Ada kala saya akan mengagah bayi yang saya jumpa di stesen bas, di hospital , di mall, di mana sahaja ! Saya sangat suka melihat senyuman seorang bayi.
Hinggakan semasa selepas bernikah, saya beritahu suami saya, saya mahu 5 orang anak.
2 tahun selepas bernikah , kami belum dikurniakan cahayamata.
Ketika itu saya merasakan hidup saya tak sempurna, walaupun saya sudah menggenggam segulung ijazah sarjana muda perubatan.
Selesai internship di Ireland, saya pulang ke pangkuan suami yang masih belajar di Indonesia.
Sudah tinggal serumah tetapi masih belum hamil, hingga saya tawarkan kepada suami untuk mengambil isteri ke dua. Suami saya menolak mentah-mentah. Kata beliau , beliau bernikah dengan saya bukan untuk mendapat anak, tetapi kerana betul-betul mahu menikahi saya kerana Allah. “Kalau ada anak, itu bonus ,” katanya.
Kehamilan pertama , gugur semasa kandungan berusia 5 minggu . Alhamdulillah selang 2 bulan saya hamil lagi, dengan anak sulung.
Syukur padaNya, genap si Kakak berumur 13 bulan, adiknya lahir . Umar pula lahir 2 tahun kemudian .
Daripada 3 tahun tiada anak, Allah kurniakan kami 3 orang anak dalam masa 4 tahun .
“Wanita dinikahi kerana empat perkara; kerana hartanya, keturunannya, kecantikannya dan agamanya, maka pilihlah wanita yang taat beragama, nescaya engkau beruntung.”
(Hadis Riwayat Bukhari)
Semasa bernikah , saya sedar saya tiada harta, saya berharap saya seorang calon isteri yang beragama. Tetapi yang saya turut harapkan adalah saya dapat memberikan zuriat kepada suami saya, kerana Alhamdulillah keturunan ibu saya memang anaknya ramai.
Bukankah ada hadis yang diriwayatkan daripada Sa'ad bin Abi Waqqas RA bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, 'Berkahwinlah kamu dan beranak pinaklah kamu dengan banyaknya, sesungguhnya aku akan berbangga dengan kamu berbanding umat-umatlain pada hari akhirat nanti” ( Hadith Riwayat Abu Dawud)
Sehingga sekarang saya tak pernah putus mendoakan sahabat-sahabat yang sudah berumah tangga dan berusaha mendapatkan cahayamata tetapi belum ada rezeki.
Saya amat memahami perasaan itu, kerana saya pernah melaluinya.
Nak mendapatkan anak ke empat kami pun saya terpaksa menjalani rawatan kerana saya sudah tidak subur walaupun baru 34 tahun ketika itu,kerana saya overweight .
Antara misi saya sekarang adalah untuk membantu sahabat-sahabat yang ingin lebih sihat dan mendapatkan berat badan ideal juga dengan program ST kami.
Saya tidak mahu komen dengan golongan yang mahu “ #childfree ” kerana saya seorang yang mahukan anak sejak saya kecil .
Saya amat bersyukur bertemu jodoh dengan seorang insan yang sudi memperisterikan saya yang serba kekurangan, dan kemudian menjadi seorang bapa yang baik buat anak-anak kami.
Abu Hurairah memberitahu, Rasulullah SAW pernah bersabda, "Kalau seseorang meninggal dunia, maka amalnya akan terputus kecuali tiga perkara: sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak yang soleh yang mendoakannya." (Hadis riwayat Muslim, Abu Daud dan at-Tirmidzi)
Bagi mereka yang tidak direzekikan bertemu jodoh atau tiada cahayamata, Allah Maha Baik. Kalian masih boleh memperbanyakkan menyampaikan ilmu yang bermanfaat & bersedekah jariah.
Bagi kita yang Allah amanahkan dengan anak-anak, marilah kita didik anak-anak kita agar menjadi anak-anak soleh solehah yang bakal mendoakan kita kelak in shaa Allah.
Jika bukan Rasulullah SAW , insan paling hebat di dunia dan akhirat menjadi contoh tauladan hidup kita, siapa lagi ?
#drazlindarita
#kisahkehidupanDrAzlindarita
#hazaminFadhliRabbi